mutakhir

Ketepi sakit demi panggilan agung

Oleh Hassan Omar

ALOR GAJAH: “Seruan untuk menunaikan haji adalah panggilan agung dan dinantikan sejak mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 10 tahun lalu,” kata warga emas, Mohd Darus Hamid, 86.

Mohd Darus yang menghidap penyakit saraf pada kaki kiri berkata, disebabkan itu dia dan isteri, Rosnah Tamby, 77, yang juga pesakit kanser payudara bertekad ‘melupakan’ penyakit dihidapi mereka untuk mengerjakan haji tahun ini.

Katanya, selepas mendaftar pada 2009 mereka tidak putus-putus berdoa dipilih menjadi tetamu Allah SWT dan bersyukur apabila diberi tawaran menunaikan ibadat itu tahun ini.

“Alhamdulillah, kami bersyukur apabila menerima surat tawaran menunaikan haji tahun ini. Kami segera memohon kepada TH supaya membenarkan anak lelaki, Roslan, 50, mengiringi kami.

“Sekali lagi kami bersyukur apabila rayuan Roslan diterima,” katanya ketika ditemui selepas program meraikan bakal jemaah haji peringkat Parlimen Masjid Tanah oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di Masjid Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah di sini, semalam.

Mohd Darus berkata, kaki kirinya mengalami masalah saraf sejak beberapa tahun lalu yang mendorongnya berjalan menggunakan tongkat manakala isterinya menjalani rawatan secara berkala di Hospital Melaka.

Katanya, penyakit itu mendorongnya meminta Roslan membantu menolak kerusi roda yang bakal digunakan untuk menunaikan ibadat haji seperti tawaf, saie, melontar di Jamrah dan seumpamanya.

Dia juga berdoa supaya diberikan kesihatan yang baik ketika berada di Makkah dan Madinah.

Sementara itu, Rosnah berkata surat tawaran berkenaan membuatkannya ‘terlupa’ penyakit dihidapi kerana terlalu gembira.

“Alhamdulillah, saya berdoa supaya diberikan kesihatan dan kekuatan untuk membuat kerja haji dan umrah. Berdasarkan pengalaman rakan, ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 9:00am
d