mutakhir

Memang fikir mati dah..

Oleh Siraj Mohd Zaini

“MASA letupan itu, saya terjatuh, topi keledar tercabut dari kepala dan tiba-tiba percikan api terkena belakang telinga saya.

“Ketika itu saya dah berfikir akan mati, mulalah terbayang raut wajah isteri dan anak yang baru berusia enam bulan di kampung halaman di Kemaman, Terengganu,” demikian kata Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 28, anggota bomba yang cedera ketika memadamkan kebakaran kilang di Pulau Indah, 5 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, tiga kilang termasuk sebuah kilang racun rumpai terbakar sehingga mengakibatkan tujuh anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran.

Terdahulu, seramai 60 anggota bomba dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Pelabuhan Klang, Kota Raja, Sungai Pinang, Andalas dan Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Mengimbau semula tragedi itu, Muhammad Ridzuan yang juga anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) berkata, dia bersama tiga rakannya ditugaskan di zon merah iaitu barisan paling hadapan untuk masuk ke dalam premis kilang bagi memadamkan kebakaran dengan menggunakan hos air.

Katanya, empat anggota yang masuk ke dalam premis memakai topeng muka bagi mengelakkan terhidu gas beracun, namun ia menjadikan penglihatan mereka terbatas.

“Apabila letupan pertama terjadi, kami masih berada di dalam kilang walaupun ketika itu puluhan tong drum menyimpan racun sudah mula jatuh ke bawah dan letupan kuat kali kedua membuatkan saya terjatuh.

“Pada ketika itu, saya sudah rasa pedih di bahagian telinga, namun saya merangkak juga keluar dan berlindung di sebalik tembok dinding kilang bersama tiga lagi rakan bomba yang turut sama berada dalam kilang.

“Saya hampir pitam dan muntah disebabkan kejadian ini sebelum dipapah keluar komander operasi untuk menerima rawatan dalam van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba),” katanya ketika ditemui Harian Metro di BBP Pelabuhan Klang.

Katanya, dia bersama enam lagi rakan anggota bomba lain dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani pemeriksaan termasuk mengambil ujian darah bagi menilai tahap kesihatan ekoran kejadian itu.

“Ini adalah pengalaman kali kedua yang cukup meninggalkan kesan dalam hidup saya sepanjang bergelar anggota bomba. Kali pertama melihat enam rakan setugas PPDA meninggal dunia ketika operasi mencari mangsa lemas di Puchong tahun lalu.

“Sehingga kini, saya masih belum beritahu ahli keluarga di kampung mengenai tragedi itu kerana beranggapan ia adalah sebahagian daripada asam garam sebagai anggota bomba,” katanya.

Dalam pada itu, kejadian letupan mencederakan lima anggota bomba dari BBP Pelabuhan Klang termasuklah Mohammad Hazreen Mazlan, Mohammed Wahyuddin Mohd Saibani, Mohammad Izwan Salleh, Ahmad Ridzwan Awang dan Mohd Shahrul Azuan Salleh.

Turut tercedera, anggota bomba dari BBP Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob dan semua mereka mengalami pelbagai kecederaan termasuk di tangan dan kaki selain pening kepala serta telinga berdengung disebabkan beberapa letupan dari kilang berkenaan.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 10:04am
d