mutakhir

Kebakaran bongkar simpanan 1.5 tan ammonia

Oleh Siraj Mohd Zaini

TINDAKAN pantas anggota bomba bukan saja dapat memadamkan kebakaran tiga kilang di Pulau Indah pada 5 Julai lalu tetapi menyelamatkan nyawa ratusan ribu penduduk yang tinggal di daerah Klang.

Ia berikutan terdapat sebuah kilang menyimpan beberapa tong gas ammonia seberat 1,500 kilogram (kg) bersebelahan kilang yang terbakar itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, dirinya terkejut apabila dimaklumkan kilang itu menyimpan bahan berkenaan dalam kuantiti banyak.

“Bayangkan sekiranya kebakaran itu berlaku pada waktu malam, sudah tentu tiada siapa di lokasi memberitahu kilang ini menyimpan bahan berbahaya kepada bomba.

“Sekiranya kilang ini terbakar dan gas ammonia tersebar, penduduk dalam radius 25 hingga 30 kilometer (km) akan terkesan yang bermaksud seluruh penduduk daerah ini dalam situasi kesihatan yang amat teruk bahkan boleh mengakibatkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat enam anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang yang cedera ketika memadamkan kebakaran kilang itu, semalam.

Hadir sama ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee.

Seorang lagi anggota yang cedera adalah dari BBP Sungai Pinang yang cedera di kaki ketika kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, seramai 60 anggota dan pegawai bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang mengambil masa lebih 12 jam untuk dipadamkan.

Selain itu, anggota bomba juga berusaha memindahkan gas ammonia dalam tempoh dua jam selepas dimaklumkan pemilik kilang.

Mengulas lanjut, Azmizam berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya perlu mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan memantau operasi kilang supaya tidak menyimpan bahan berbahaya melebihi kuantiti dibenarkan.

Katanya, kilang menyimpan gas ammonia itu juga dilaporkan beroperasi bukan pada zon kawasan industri yang sepatutnya dibenarkan PBT.

“Saya difahamkan kawasan ini adalah zon industri ringan, bagaimana kilang menyimpan 1,500 kg gas ammonia boleh beroperasi di kawasan itu.

“Di kawasan ini juga sudah ada kebakaran berlaku dua kali iaitu kali pertama pada April lalu dan kali kedua minggu lalu. Satu tindakan drastik perlu dilakukan bagi mengelakkannya berulang semula,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 10:26am
d