mutakhir

Mahkamah Tinggi benar tangguh penjara Wan Ji [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, 37, kerana menerbitkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Selangor.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira dan meneliti beberapa alasan yang dikemukakan dua peguam mewakili Wan Ji iaitu Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Penangguhan pelaksanaan hukuman itu berkuat kuasa hari ini sehingga proses rayuan bagi kes berkenaan di Mahkamah Rayuan selesai.

Dalam prosiding sama, Abdul Halim turut menetapkan syarat tambahan kepada Wan Ji iaitu dia mesti mendapatkan kebenaran mahkamah untuk keluar negara selain meneruskan syarat yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Syarat sebelum ini yang ditetapkan adalah Wan Ji dikehendaki membayar wang jaminan RM5,000 selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa.

Selasa lalu, Wan Ji dihantar ke Penjara Kajang selepas mahkamah menolak permohonan sabitan dan hukuman sembilan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam pada 10 pagi, 5 November 2012.

Sementara itu, Mohd Radzlan ketika ditemui selepas prosiding berkata, antara 18 alasan yang dikemukakan pihaknya adalah Wan Ji sebagai penanggung tunggal keluarga dan perlu memastikan kebajikan anak terjamin.

“Alasan yang dikemukakan lebih kepada kebajikan anak Wan Ji dan tempoh masa penjara adalah setahun.

“Keluarga Wan Ji lebih memerlukannya memandangkan dia adalah penanggung tunggal keluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Rayuan ditolak, Wan Ji dipenjara

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 11:26am
d