mutakhir

Tuah hobi dapat Huawei P30 Pro

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

FOTO memaparkan keindahan kawasan pembuatan garam di Hon Khoo, Vietnam, melayakkan pegawai bank, Tong Eng Chung, 50, memenangi pertandingan ‘Jadilah Juara Gambar Huawei’.

Gambar diambil Tong menggunakan telefon pintar Huawei P20 Pro menewaskan hampir 2,000 penyertaan lain.

Penggemar fotografi itu berkata, dia menghantar lima penyertaan dengan pelbagai gambar berunsurkan alam semula jadi, kemanusiaan dan jalanan serta tidak sangka salah satunya terpilih memenangi hadiah utama.

“Memang tidak percaya, namun saya bersyukur apabila Harian Metro menghubungi memaklumkan gambar pemandangan pembuatan garam memenangi hadiah utama pertandingan ini.

“Telefon pintar Huawei P30 Pro ini adalah hadiah pertandingan paling mahal pernah diterima dan ternyata tidak sia-sia saya menjadikan fotografi sebagai hobi,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian pertandingan berkenaan di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadiah pertandingan Jadilah Juara Gambar Huawei disampaikan Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro (HM), Husain Jahit.

Sementara itu, gambar menarik pemandangan Singapura pada waktu malam dirakam Wong Khean How, 34, memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga disandang Zanariah Salam, 39, menerusi potret keindahan embun pagi di daun lalang.

Wong memenangi hadiah telefon pintar Huawei P30 manakala Zanariah membawa pulang telefon pintar Huawei Nova 4.

Pertandingan ‘Jadilah Juara Gambar Huawei’ diadakan bermula 6 April sehingga 5 Mei lalu.

Ia diadakan menerusi laman sosial Facebook dan Instagram dimana orang ramai hanya perlu menghantar gambar menarik diambil menggunakan telefon pintar Huawei selain mengaktifkan panel ‘watermark’ supaya setiap gambar dihantar memaparkan tera air jenama berkenaan.

Selain gambar menarik, peserta juga perlu menulis keterangan gambar tidak melebihi 20 patah perkataan selain menggunakan tanda pagar #JuaraGambarHuawei.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 2:53pm
d