mutakhir

Awas...JPJ pun ada `tonto'

Oleh Shamsul Munir Safini

TINDAKAN tonto yang sering menggagalkan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mendorong agensi berkenaan turut menggunakan pendekatan sama bagi mengesan pesalah trafik terutamanya kenderaan membawa muatan berat di negeri ini.

Kumpulan `tonto’ yang terdiri daripada anggota risikan dan operasi JPJ negeri itu akan menggunakan pendekatan sama dengan mengekori kenderaan berat yang menyalahi undang-undang.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Mohamat Johari Mat Nor berkata, pendekatan yang digunakan pihaknya membuahkan hasil apabila unit risikan atau ‘tonto’ JPJ itu berjaya mengeluarkan 306 saman kepada pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam Ops Lebih Muatan bermula 21 Jun hingga hari ini.

Menurutnya, sebelum ini operasi yang dijalankan JPJ sering berdepan dengan masalah kerana syarikat pengangkutan terutamanya pemilik lori mengupah tonto mengekori kenderaan penguat kuasa, malah ada yang sanggup menunggu di hadapan pintu pagar pejabat sejak awal pagi.

“Operasi yang dijalankan sering diganggu tonto yang bertapak di pejabat JPJ tidak kira waktu siang atau malam sekali gus memaksa pihak kami menggunakan unit risikan yang berpakaian biasa dan menaiki kenderaan awam untuk melakukan risikan serta pemantauan awal sebelum memaklumkan kepada anggota penguat kuasa bagi mengambil tindakan seterusnya.

“Dalam operasi itu, JPJ Pulau Pinang melakukan rondaan penguatkuasaan di lebuh raya dan jalan utama untuk mengesan lori yang membawa lebih muatan,” katanya kepada media selepas Ops Lebih Muatan di Butterworth, malam tadi.

Menurutnya, sejak dua minggu lalu sebanyak 271 saman membabitkan kesalahan lebih muatan dan 35 saman kesalahan muatan berbahaya dikeluarkan kepada pemandu lori di negeri itu.

Katanya, daerah Seberang Perai Selatan merupakan lokasi paling banyak lori dikesan membawa lebih muatan dikesan dan dikenakan saman.

Mohamat Johari berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pemandu lori serta tonto yang cuba mengganggu operasi.

Katanya, pihaknya juga mengeluarkan saman kepada 110 pemandu kerana tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh (12), kesalahan teknikal (359) dan kesalahan utama (4).

“Sebanyak 678 kenderaan diperiksa dan 389 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 4:21pm
d