mutakhir

Pasangan pecah rumah kantoi

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

DUA individu yang disyaki aktif dalam kes pecah rumah dengan mencuri pelbagai koleksi jam tangan berjenama dan barangan perhiasan wanita sekitar Besut berjaya ditahan polis.

Seorang lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia 26 serta 35 tahun itu ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Seri Nering, Jertih pada 5.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, anggota Task Force Balai Polis Jertih menyerbu sebuah rumah dan menahan dua suspek di belakang rumah itu selepas mendapati terdapat barang yang mencurigakan bersama mereka.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar daerah ini.

“Polis merampas barang kes yang ada pada pasangan itu dan dengan dipandu arah oleh suspek kemudiannya merampas beberapa barang kes lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek positif methamphetamine dan turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

“Antara barang kes yang dirampas ialah lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah televisyen, tiga unit pengecas mudah alih atau `powerbank’.

“Turut dirampas sembilan koleksi jam tangan berjenama, 12 cincin pelbagai bentuk dan 10 utas gelang tangan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 5:16pm
d