mutakhir

'Syukur terpilih jadi tetamu Allah SWT'

Oleh Mohamad Hussin

“SELEPAS pencen tentera, saya dan isteri menoreh getah dan hasil pendapatan itu saya simpan dalam Tabung Haji (TH).

“Selain mengambil upah menoreh, saya turut membela 15 ekor kambing, 100 ekor arnab dan 130 ekor ayam kampung untuk menambah pendapatan,” kata bakal jemaah haji, Oden Ismail, 62.

Dia dan isteri Jamilah Sukedi, 61, dari Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar, Manjung, Perak, pertama kali terpilih mengerjakan haji pada Musim Haji 1440H/2019M.

“Gembira dan sedih apabila terpilih menunaikan haji tahun ini kerana impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci dimakbulkan Allah SWT.

“Selepas pencen askar di pos terakhir di Sri Aman, Sarawak pada 1998, saya dan isteri mengambil upah menoreh getah seluas 1.2 hektar di kawasan kampung.

“Hasil duit menoreh itu, saya dan isteri mendaftar dengan TH pada 2008 dengan harapan dapat menunaikan haji,” katanya ditemui di Kompleks TH di Sepang hari ini.

Mereka antara 483 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbangan KT18 (XY5670) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, 2.30 petang ini dan dijangka tiba 6 petang (waktu Arab Saudi).

Oden berkata, setiap kali menerima upah menoreh getah antara RM50 hingga RM150, dia memasukkan wang berkenaan dalam simpanan TH.

“Beberapa hari lalu ada pemborong membeli semua arnab dan ia dapat menampung perbelanjaan kami di sana,” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 20, Pahang, Mohd Anuar Ahmad, 55, dan isteri, Siti Mariam Darus, 50, bersyukur kerana terpilih tahun ini.

Mohd Anuar berkata, dia dan isteri mendaftar dengan TH sejak 2008 selepas membuat potongan gaji sebagai guru.

“Pada masa sama, hasil jualan getah seluas empat hektar peninggalan arwah ayah saya simpan untuk ke Tanah Suci.

“Kami membuat persediaan awal mengikuti kursus haji sejak tiga tahun lalu sebagai persiapan menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 5:34pm
d