mutakhir

'Di mana isteriku'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SURI rumah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Gunung Rapat, Perak sejak 3 Julai lalu.

Kehilangan Nurul Huda Ismail, 34, disedari suaminya, Syarul Azuan Sharudin, 41, selepas wanita itu tidak dapat dihubungi sehingga kini sebaik tiba di Kuala Lumpur.

Syarul Azuan berkata, dia menghantar isterinya ke stesen bas di Gunung Rapat selepas wanita itu mendesak mahu ke Kuala Lumpur dengan alasan untuk bekerja.

“Beberapa hari sebelum kejadian, isteri yang mempunyai masalah mental mengamuk dan mendesak saya memberikan kad pengenalan miliknya supaya dia dapat pergi Kuala Lumpur.

“Pada mulanya, saya rasa berat hati untuk melepaskannya, namun dia tetap berkeras dengan keputusannya sebelum menghantarnya ke stesen bas 3 petang pada hari berkenaan.

“Itu kali ketiga dia ke Kuala Lumpur dan kebiasaannya isteri pulang semula selepas beberapa hari sebaik dia puas berjalan-jalan ke sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sebaik tiba di Kuala Lumpur, isterinya ada menghubungi memaklumkan dia mendapat kerja namun tidak menjelaskan pekerjaan dilakukan.

“Selepas memaklumkan perkara itu, isteri tidak dapat dihubungi sehingga kini malah telefon bimbitnya juga dimatikan.

“Saya kemudian dihubungi kakitangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur memaklumkan menemui telefon bimbit dan dompet mengandungi kad pengenalan isteri di pusat beli-belah itu,” katanya.

Syarul Azuan berkata, dia pergi ke pusat beli-belah berkenaan untuk melihat sendiri sama ada barangan yang ditemui adalah milik isterinya.

“Saya buntu memikirkan keadaan isteri apatah lagi dia tidak sihat, saya bimbang keselamatannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung isteri saya diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat, Perak.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 6:27pm
d