mutakhir

Awas 'pekebun' ketum!

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan kerajaan negeri memandang serius individu yang menanam pokok ketum dan akan mengambil tindakan terhadap mereka.

Beliau berkata, perbuatan mereka itu bukan saja menyalahi undang-undang, malah ia dilakukan di atas tanah milik kerajaan yang diceroboh.

“Hari ini saya masuk sendiri ke dalam ladang sawit dan dimaklumkan sebanyak 200 pokok ketum pernah ditanam di situ, sejak beberapa bulan lalu.

“Namun (hari ini) pokok itu, termasuk pondok yang dipercayai menjadi tempat memproses ketum sudah dimusnahkan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan penanaman ketum secara haram di FELDA Lui Selatan Dua di Jempol, hari ini.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri melarang penanaman ketum di Negeri Sembilan meskipun ada dakwaan mengatakan tumbuhan itu mengandungi khasiat tertentu dalam bidang perubatan.

Katanya, mereka yang menanam dan menjadikan tanaman itu sebagai minuman boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Dakwaan yang mengatakan ketum berkhasiat belum dibuktikan secara saintifik, oleh itu kerajaan negeri tetap melarang penanaman tumbuhan itu,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 6:41pm
d