mutakhir

Tiga lelaki ditahan jual arak, rokok seludup [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahudin

POLIS menahan tiga individu termasuk dua lelaki yang menjual minuman keras tanpa lesen dengan sebahagian daripadanya dipercayai tiruan.

Mereka yang turut menjual rokok seludup ditahan dalam dua serbuan berasingan di kedai runcit tidak berlesen sekitar Petaling Jaya, kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, rampasan membabitkan 607 minuman keras pelbagai jenama dan 32 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM10,490.

Katanya, serbuan pertama di sebuah kedai runcit di Rumah Pangsa Kayu Ara, kira-kira 1 petang kelmarin dan menemukan arak dan rokok seludup yang disembunyikan di belakang serta loteng premis.

“Kami menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis,” katanya pada sidang media di Balai Polis Damansara, hari ini.

Mohd Zani berkata, serbuan kedua pula dilakukan di kedai runcit dekat Desa Temuan Bandar Damansara Perdana pada 3.30 petang, semalam.

“Dalam serbuan itu, pelbagai jenis arak dipercayai tiruan ditemui tersimpan di dalam peti sejuk. Selain itu, arak jenis sama (tiruan) dan beberapa karton rokok seludup di dalam laci serta di bawah kaunter pembayaran.

“Dua lelaki India yang bekerja sebagai penjaga premis ditahan dan kedai runcit itu didapati tidak berlesen,” katanya.

Katanya, semua individu yang berusia antara 25 hingga 55 tahun itu dibawa ke Balai Polis Seapark dan Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 6:47pm
d