mutakhir

Kenapa kejam sangat?

Oleh Redzuan Muharam

“TIDAK sangka ada juga pihak yang tergamak bertindak kejam terhadap haiwan yang tidak berdosa. Saya kesal,” kata Norashikin Mohd Kassim, 33.

Dia mengulas mengenai sembilan arnab dan seekor ayam serama yang mati dipercayai diracun.

Ternakan itu dipelihara di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Permata Court 2, Puchong Utama, Selangor bagi tujuan pembelajaran selain menarik perhatian kanak-kanak.

Gambar dan video bangkai ternakan itu yang bergelimpangan dengan mulut berdarah dimuat naik di Facebook, pagi semalam dan tular sehingga mendapat lebih 640 komen, lebih 1,000 tanda suka dan sedih serta 280 kali dikongsi warganet setakat 7.30 malam hari ini.

Norashikin yang juga guru TADIKA itu berkata, kematian haiwan itu hanya disedari pembantu TADIKA, Rozana Kamaruddin, 42, pada 7.40 pagi semalam ketika mahu memberi ternakan itu makan.

Katanya, semua ternakan yang dibela sejak 2017 diletakkan di dalam sangkar.

“Rozana menjerit memanggil saya sebaik melihat semuanya (ternakan) mati. Ketika itu saya berada di dalam kelas bersama murid.

“Terkejut saya apabila keluar dan melihat tiada seekor pun haiwan itu terselamat. Ia bergelimpangan dengan mulut berdarah di luar dan dalam sangkar. Ada kesan umpil di pintu sangkar juga.

“Lebih menyedihkan, seekor lagi arnab gagal dikesan sebaliknya kami hanya menemui cebisan telinga dan tangannya sahaja.

“Hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya ketika itu namun, kami berdua tidak terus membersihkan bangkai sebaliknya mengambil gambar dan video untuk dijadikan bukti, sebelum laporan dibuat di Balai Polis Bukit Puchong, 1.40 tengahari semalam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ibu dua anak itu berkata, tidak mengesyaki mana-mana pihak yang tergamak melakukan perbuatan itu dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Meskipun TABIKA beroperasi di kawasan perumahan tapi tiada aduan diterima daripada penduduk mengenai haiwan ini, memandangkan sangkarnya berada di dalam kawasan TABIKA.

“Tidak tahu pula jika ada yang tidak senang, namun ia bukan alasan untuk bertindak kejam sebegini hingga membunuh,” katanya yang memberitahu memuat naik gambar dan video itu di media sosial untuk berkongsi kesedihannya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 8:51pm
d