mutakhir

[UPDATE] Seorang lagi maut kemalangan kereta, lori

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG lagi mangsa kemalangan membabitkan kereta dan lori tangki diesel di Kilometer 31, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Mangsa disahkan Muhamad Ashraf Shamsor, 19, yang juga adik ipar kepada Nur Al Ashiqin Abdul Kadir, 38, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suami Nur Al Ashiqin berusia 27 tahun masih kritikal dan dirawat HRPB.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya mendapat maklumat kemalangan itu pada 3.10 petang dengan lori berkenaan dari arah Cameron Highlands menuju ke Ipoh, manakala kereta Perodua Viva dinaiki tiga mangsa dari arah bertentangan

“Lokasi kejadian di Jalan Keramat Pulai dan siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa berusia 27 tahun dipercayai cuba memotong kenderaan lain, namun hilang kawalan dan terlanggar pada bahagian hadapan lori tangki berkenaan.

“Penumpang hadapan, wanita berusia 38 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adik iparnya berusia 19 tahun meninggal dunia di wad kecemasan.

“Suami mangsa parah dan dirawat di hospital sama manakala, pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tiga sekeluarga itu berasal dari Raub Pahang dan bedah siasat mayat kedua-dua mangsa dijalankan di Jabatan Forensik HRPB malam ini, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kenderaan terbabit ditahan bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Berita berkaitan

Wanita maut nahas kereta, lori tangki

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 9:10pm
d