mutakhir

Anak Ahli Parlimen Kuala Terengganu kemalangan

Oleh Zaid Salim

ANAK lelaki Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengalami detik cemas apabila kenderaan dipandu terbabas melanggar penghadang jalan di Kilometer 362.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Dungun, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, mangsa, Ahmad Najwan Ahmad Amzad, 26, dilaporkan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa memandu kereta Toyota Camry dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu pada 12 tengah hari.

“Kemalangan berlaku ketika mangsa mengubah haluan dari lorong kanan ke kiri jalan sebelum gagal mengawal kenderaan dan bergesel dengan besi penghadang jalan.

“Kemalangan menyebabkan kenderaan terbabit remuk di bahagian depan, namun mangsa tidak cedera.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus mempunyai dua lorong dan keadaan permukaan jalan basah disebabkan hujan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada 5.30 petang.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal kawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 12:17am
d