mutakhir

Kenangan terakhir yang memilukan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PERCUTIAN bersama di Ipoh menjadi kenangan terakhir buat Shamsor Baba, 54, selepas anak bongsu dan menantunya meninggal dunia dalam kemalangan, semalam.

Anaknya Muhamad Ashraf, 19, dan menantu Nur Al Ashiqin Abdul Kadir, 38, meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka berlanggar dengan lori tangki muatan diesel di Kilometer 31 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands.

Shamsor berkata, seorang lagi anaknya yang juga suami Nur Al Ashiqin, Khairulzaman, 27, memandu kereta Perodua Viva itu masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Katanya, sebelum kejadian malang itu mereka sekeluarga baru bercuti bersama di bandar raya berkenaan dan sempat bermalam di rumah anak sulungnya di Klebang, Ipoh.

“Kami ke sini (Ipoh) sejak Rabu dan menaiki dua kenderaan dari Kampung Sejuk Kuala Atok Sega, Raub, Pahang. Selain bercuti, kami melawat anak sulung saya yang tidak sihat.

“Sempat juga kami berkelah di Lata Ulu Chepor dan beriadah di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Khamis dan arwah Muhamad Ashraf belanja kami serta suapkan ibu dan abangnya aiskrim. Kenangan yang tidak mungkin saya lupakan.

“Pada hari kejadian, saya mengajak mereka pulang ke Raub bersama-sama (hari ini) namun Khairulzaman dan Muhamad Ashraf tetap nak balik dan menantu ikut sekali,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB malam tadi.

Malangnya, Shamsor berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada polis beberapa minit selepas kepulangan mereka, memaklumkan kemalangan itu dan sempat melihat anaknya dikeluarkan bomba.

“Saya tiba di lokasi kejadian kira-kira 4 petang dan lihat Khairulzaman sudah dikeluarkan dan berada dalam ambulans, manakala isterinya tersepit di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia.

“Anak bongsu pula sedang cuba diselamatkan selepas dikeluarkan bomba. Tuhan lebih menyayangi mereka dan saya reda,” katanya sayu.

Menurutnya, jenazah anak bongsunya akan dikebumikan di Kampung Sejuk Kuala Atok Sega, manakala jenazah Nur Al Ashiqin dibawa ke Felda Tersang 2, Raub.

Berita berkaitan

Wanita maut nahas kereta, lori tangki

[UPDATE] Seorang lagi maut kemalangan kereta, lori

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 11:45am
d