mutakhir

Kejutan subuh keluarga polis

Oleh Hadzlihady Hassan

KEJUTAN subuh buat anggota polis berusia 53 tahun apabila rumahnya di Jalan Besar, Tasek Gelugor terbakar, hari ini.

Kejadian berlaku pada 5.37 pagi, ketika dia bangun tidur untuk menunaikan solat sebelum mengejutkan isteri dan empat anak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, kebakaran itu memusnahkan hampir 80 peratus rumah dua tingkat berkenaan.

“Kita menerima panggilan pada 6.26 pagi dan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api marak dan berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, setakat ini jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kita difahamkan penghuni rumah yang bangun menunaikan solat Subuh terdengar letupan dan ternampak percikan api pada wayar di siling bahagian dapur.

“Percikan api itu terjatuh dalam kuali yang berminyak sekali gus menyambar tong gas dan menyebabkan kebakaran menjadi lebih besar,” katanya.

Difahamkan, pemilik rumah cuba memadam kebakaran namun gagal dan dia sempat mengejutkan isteri serta empat anak untuk keluar menyelamatkan diri.

Mangsa menyewa rumah itu sejak 2012.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 12:22pm
d