mutakhir

Dia dah kata nak bakar rumah [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

“DIA sudah beritahu sejak beberapa hari lalu untuk membakar rumah. Tak sangka pagi ini dia betul-betul membakarnya,” kata Mohd Danial Abdullah, 28.

Dia sekeluarga serta anak lelakinya berusia lima bulan nyaris menjadi mangsa korban dalam kebakaran yang memusnahkan empat rumah di Jalan Landasan, Kampung Bukit Kuda, Klang, hari ini.

Katanya, kejadian berkenaan berlaku sekelip mata dan dia hanya sempat menyelamatkan anaknya sahaja kerana api sudah mula marak.

“Ketika itu saya, isteri, ibu mertua dan anak dalam rumah sedang berehat, tiba-tiba ada jiran jerit suruh selamatkan diri.

“Saya dengan tidak berbaju, terus mendukung anak dan semua ahli keluarga lain turut berlari keluar rumah,” katanya yang sudah enam tahun menyewa kediaman berkenaan.

Mohd Daniel yang bekerja sebagai pemandu lori itu berkata, ketika kebakaran itu berlaku, lelaki berusia 36 tahun itu berlegar-legar di hadapan kediaman itu sambil menjerit-jerit.

“Aku dah bakar rumah... jadi apa yang kau tak puas hati dengan aku... lelaki itu menjerit kepada kami serta jiran-jiran.

“Tak lama lepas itu, dia dilihat menghilangkan diri dengan berjalan kaki apabila lihat beberapa anggota polis tiba dengan motosikal,” katanya.

Difahamkan, lelaki itu pernah ditangkap polis beberapa kali serta dimasukkan ke penjara kerana melakukan samun terhadap penduduk di kawasan terbabit.

Kebakaran itu dipercayai berpunca apabila lelaki membakar tayar di hadapan rumahnya sebelum ia merebak ke rumah didiami Mohd Danial yang bersebelahan.

Dua buah rumah lagi yang dilaporkan terbakar adalah kediaman yang tidak berpenghuni.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dan BBP Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi.

“Kemusnahan 100 peratus namun tiada kehilangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 12:36pm
d