mutakhir

Bayi nyaris lemas dalam kolam

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BAYI perempuan nyaris lemas dalam kolam renang kondominium di Presint 8, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika kejadian, bayi berusia 22 bulan itu dalam jagaan taska di kondominium itu.

“Pada pagi itu, pihak taska membuat satu program bermain di taman permainan terbuka di luar taska.

“Pada masa itu, mangsa dikatakan pergi ke kolam renang berdekatan dengan taman permainan tanpa pengetahuan pihak penjaga taska.

“Lima penjaga taska berada di kawasan itu. Pengawal keselamatan kondominium berkenaan telah nampak ada mangsa terapung dalam kolam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, mangsa terbabit dibawa ke Hospital Putrajaya dan diberi rawatan seterusnya.

“Pihak hospital kemudian menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lebih rapi.

Dalam pada itu, Rosly berkata, bayi terbabit kini diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HKL untuk pemerhatian.

“Setakat ini keadaan mangsa normal dan stabil. Doktor belum beritahu bila mangsa boleh pulang ke rumah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, hasil temu bual didapati bayi terbabit dihantar ke taska berkenaan sejak berusia tiga bulan dan setakat ini, tiada masalah di pusat jagaan itu kerana mereka menjaga dengan baik.

Sementara itu, katanya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 1:10pm
d