mutakhir

Caj masuk 7 lagi hutan lipur di Perak

Oleh Balqis Jazimah Zahari

JABATAN Perhutanan Perak menyasarkan kesemua 14 hutan lipur di negeri Perak mengenakan caj bayaran masuk kepada pengunjung dalam tempoh dua tahun ini.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pelaksanaannya bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, ketika ini tujuh hutan lipur iaitu Taman Eko Rimba Ulu Kenas, Taman Eko Rimba Kuala Woh, Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang Kuala Sepetang, Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail terletak di Grik dan Taman Eko Rimba Papan di Batu Gajah dan Taman Eko Rimba Kledang Saiong, sudah mengenakan bayaran masuk.

“Semuanya akan dibuat secara berperingkat dan kita menyasarkan kesemua 14 hutan lipur akan dapat dikenakan bayaran masuk dalam tempoh dua tahun ini.

“Kita meletakkan bayaran caj masuk dalam kadar paling minimum untuk tujuan penyelenggaraan iaitu hanya RM2, selain itu kita juga mengenakan bayaran sekiranya hendak menggunakan dewan dalam kadar RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Jungle Park In Town Siri 2’ di perkarangan Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Mohamed Zin berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan itu kepada kerajaan negeri yang akan membuat keputusan muktamad mengenainya.

“Kita juga boleh bekerjasama dengan operator yang ingin memajukan hutan lipur berkenaan, yang mana ini bermakna mereka mengambil alih mana-mana hutan lipur di negeri ini.

“Namun begitu, kita hendak mencari operator yang benar-benar berkemampuan dalam bidang ini kerana ia juga memerlukan kos yang agak tinggi serta kita tidak mahu operator hanya sekadar melaksanakan apa kemudahan yang ada dan apabila kemudahan itu sudah uzur dan sebagainya mereka tidak mahu menyambungnya dan melepaskan semula kepada kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 900 anak pokok akan dijual sebagai pokok angkat bagi peringkat permulaan projek Perak Oxygen Land Bank.

“Pada tahun ini, projek ini akan dijalankan di petak kajian di Hutan Simpan Chikus yang mana kita mempunyai kira-kira 900 pokok antaranya Meranti, Tembaga, Cengal.

“Setiap anak pokok akan dijual untuk pemuliharaan bagi penjagaan tempoh setahun atau lima tahun dengan kadar bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut saiz pokok,” katanya.

Katanya, projek kini berada di fasa akhir bagi proses pemetaan sebelum projek dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 2:24pm
d