mutakhir

Kanak-kanak parah ditimpa peti ais

Oleh Hasbi Sidek

“KAMI tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku kerana hanya menyedari peti ais itu sudah tumbang,” kata Mohd Bukhari Zainal Annuar, bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang parah selepas ditimpa peti ais, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam di rumah keluarga mangsa dekat Taman Cempaka di Nilai, Muhammad Fawwaz Adli dipercayai mengalami kecederaan di kepala.

Mohd Bukhari berkata, dia percaya anaknya tidak dihempap peti ais itu sepenuhnya tetapi dipercayai pada bucunya peralatan elektrik berkenaan.

Terdahulu, Mohd Bukhari yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Sembilan menerusi catatan di Facebook (FB) miliknya memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anak sulungnya itu.

Menurutnya, doktor memaklumkan berlaku pendarahan di kepala anaknya itu yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

“Assalamualaikum..mohon sahabat semua mendoakan anak sulung saya Muhammad Fawwaz Adli yang kini sedang ditahan di wad ICU (kecemasan) Hospital Seremban kerana dihempap peti ais besar di rumah,” katanya menerusi hantaran FB.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 4:03pm
d