mutakhir

AirAsia mohon maaf...

Oleh Suraya Roslan

SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia memohon maaf berhubung insiden 12 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi yang diarah turun daripada pesawat kerana didakwa tiada surat kebenaran ibu bapa.

Jurucakap AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu sudah selesai dan semua ibu bapa sudah dihubungi untuk diberikan penjelasan lanjut berhubung insiden itu.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua penumpang menjadi keutamaan kami dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan ketika ini.

“Hasil siasatan membolehkan kita mengambil tindakan pembetulan untuk mencegah kes yang sama di masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, kumpulan remaja terbabit dapat menaiki penerbangan lain AirAsia dan sekali lagi pihaknya meminta maaf atas insiden itu.

Sebelum ini, tular di media sosial dan WhatsApp mengenai 12 pelajar MRSM Langkawi diarah turun ketika ingin menaiki penerbangan AK6317 dari Langkawi ke Kuala Lumpur.

Pesawat yang sepatutnya berlepas pada 4.10 petang, kelmarin itu mendatangkan kemarahan kepada segelintir ibu bapa serta keluarga yang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan layanan diberikan kepada kumpulan pelajar itu apabila anak mereka diarah turun tanpa alasan munasabah.

Ahli keluarga dikenali Nina Tariq dalam Facebooknya meluahkan tindakan syarikat penerbangan itu seolah-olah menindas remaja berkenaan tanpa memikirkan ibu bapa yang sudah menunggu anak masing-masing di lapangan terbang.

“Ini berlaku kepada adik saya. Bayangkan bapa saya sudah keluar rumah jam 4 lebih untuk menjemput adik di lapangan terbang.

“Tiba-tiba adik naik penerbangan jam 8 malam. Senang mereka tindas budak-budak ini tanpa fikirkan ibu bapa yang tengah menunggu anak nak balik.

“Kalau alasan sebab ‘consent letter’ (surat persetujuan), memang tak munasabah. Syarat untuk penjaga tandatangan surat persetujuan untuk mereka bawah 16 tahun saja,” katanya.

Katanya lagi, adiknya sudah berusia 16 tahun dan tidak memerlukan surat persetujuan, malah sepatutnya mereka tidak dihalau sebegitu rupa.

“Mereka sepatutnya periksa dulu sebelum dibenarkan masuk. Kalau salah kenapa selama ini elok saja mereka ulang alik selama ini,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga, Hazwani Nazaruddin meluahkan perasaan sama selepas adiknya juga dihalau keluar daripada pesawat itu.

“Juruterbang tidak membenarkan mereka berada terbang atas alasan bawah umur, tetapi jelas dalam syarat pembelian mereka hanya kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah memerlukan surat persetujuan ibu bapa,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 6:28pm
d