mutakhir

Subsidi petrol dibentang bulan ini [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

RAKYAT diminta bersabar dengan memberikan tempoh sedikit masa lagi kepada kerajaan berhubung pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mahupun Kementerian Kewangan (MOF) tidak berdepan sebarang masalah dalam proses melaksanakan pemberian subsidi petrol bersasar berkenaan.

Berikutan itu, katanya, rakyat tidak perlu risau dan menantikan saja pengumuman yang akan dibuat tidak lama lagi.

“Dalam pembentangan belanjawan pada November tahun lalu menyebut bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar itu akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.

“Jadi, apa yang dilakukan pihak kita bersama MOF dalam tempoh Januari hingga Jun adalah mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh antaranya pengusaha stesen minyak, persatuan pengguna dan agensi penting yang lain untuk mencari formula terbaik, yang mana kita sudah perolehnya dan sedang menyiapkan kertas jemaah menteri untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Pulau Pinang di Stesen Minyak BHPetrol Jawi, Nibong Tebal, hari ini.

Menurutnya, beliau optimis kertas jemaah menteri yang mengandungi proses, garis masa, mekanisme dan jumlah penerima yang sedang disiapkan kementeriannya bersama MOF itu akan dibentangkan pada bulan ini.

“Kita tidak berdepan apa-apa masalah dalam pelaksanaan subsidi petrol bersasar ini dan sekarang kita juga sudah berada pada tahap menyiapkan kertas jemaah menteri yang mana apabila dibentangkan kelak dan mendapat ‘green light’ (lampu hijau), maka ia akan terus diumumkan,” katanya.

Pada Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada November tahun lalu menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution menyifatkan rakyat di negara ini mempunyai kesedaran tinggi terhadap keselamatan ketika berada di stesen minyak.

“Kita lihat angka kemalangan di stesen minyak masih pada tahap rendah dan ia membuktikan bahawa masyarakat mempunyai kesedaran tinggi untuk menjaga keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, kempen kesedaran keselamatan ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu bila sudah terhantuk baru nak tergadah,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 7:00pm
d