mutakhir

[UPDATE] SAR dihentikan, bimbang banjir kilat [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

HUJAN lebat melanda kawasan Taman Negara Mulu memaksa operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemandu pelancong yang hilang di Gua Rusa dekat Miri, dihentikan pada 3.22 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, ia berikutan kebimbangan akan berlaku banjir kilat di gua berkenaan.

Menurutnya, semua anggota yang terbabit dalam operasi berkenaan sudah diarah keluar dari gua berkenaan.

“Laporan yang diterima dari lokasi ketika ini memaklumkan hujan lebat sedang melanda dan anggota sudah diarah keluar seterusnya berkumpul di pusat kawalan bomba,” katanya.

SAR dilancarkan bagi mengesan seorang mangsa yang masih hilang selepas dibawa arus deras ketika banjir kilat melanda gua berkenaan petang semalam.

Ketika itu, mangsa, Roviezal Robin, 20, sedang mengiringi sembilan pelancong asing menjelajah gua berkenaan.

Seorang daripada pelancong warga Belanda, Peter Hans Hovenkamp, 66, turut hilang, manakala lapan lagi berjaya keluar dengan selamat.

Peter kemudiannya ditemui lemas selepas tersangkut berdekatan pintu gua itu pada 6.40 pagi tadi.

Mayatnya sudah dibawa ke Miri dengan helikopter Mi17 Unit Udara Bomba untuk urusan selanjutnya.

Gua Rusa adalah laluan gua terbesar di dunia dengan keluasan dua kilometer panjang dan tidak kurang dari 90 meter tinggi pada titik terendahnya.

Terdapat anak sungai mengalir dalam gua yang menjadi sebahagian daripada khazanah geologi terbesar di dunia.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pelancong lemas di Gua Rusa

2 pelancong hilang dalam Gua Rusa

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 8:20pm
d