mutakhir

Sekolah KITA III aktif atur program [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

BUKAN mudah menguruskan Pusat Bimbingan Alternatif untuk murid Syria di Bandar Puteri Bangi, Selangor apatah lagi operasi bergantung sepenuhnya kepada dana awam.

Namun, Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) selaku pengasas pusat itu yang turut dikenali Sekolah KITA III, tidak patah semangat.

Sebaliknya, CSM terus aktif mengatur program bantuan kemanusiaan bagi mengutip dana selain misi khas yang kini dijadikan acara tahunan iaitu ketika Ramadan, Aidiladha dan musim sejuk.

Menurut Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, tanpa misi khas begitu, sukar untuk mengumpul dana mencukupi buat Sekolah KITA dan aktiviti kemanusian lain.

“Ketika awal penubuhan CSM pada 2014, kami hanya bergantung kepada dana awam yang disumbangkan masyarakat, malah sehingga kini pun 90 peratus operasi adalah daripada derma.

“Alhamdulillah kami dapat membuka Sekolah KITA untuk murid Syria, malah ada tiga semuanya iaitu pertama di Jordan, kedua di Turki dan ketiga di Bandar Puteri Bangi ini.

“Memang tidak mudah mendapatkan sumbangan kerana pendidikan belum menjadi pilihan orang ramai untuk menyumbang. Sebab itu juga diadakan misi khas pada musim tertentu untuk menampung sumbangan itu.

“Contohnya, ketika misi bantuan kemanusiaan Ramadan di Syria, sumbangan terkumpul hampir sejuta ringgit dan ketika musim korban boleh capai ke RM700,000,” katanya ketika ditemui di Sekolah KITA III.

Ahmad Musa Al-Nuwayri berkata, menerusi sumbangan itu, rancangan kewangan disusun baik dan sebahagiannya digunakan untuk mengurus Sekolah KITA III yang mempunyai 43 murid berusia lima hingga 14 tahun.

Katanya, sekolah itu beroperasi sejak Februari 2018 dan kini mempunyai lapan tenaga pengajar iaitu dua orang tempatan, manakala selebihnya dari Syria, Yaman dan Palestin.

“Buat masa ini, kita sedia pengajian untuk sekolah rendah dan insya-Allah, pada September depan akan dibuka untuk menengah dengan mengekalkan modul sistem pendidikan Cambrige International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

“Awalnya kami merancang menyediakan kelas baharu, namun ada kekangan kewangan maka terpaksa buat partition di dalam kelas yang besar,” katanya yang mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk Misi Pendidikan di akaun RHB Islamic Bank 21245760024860.

Selain itu katanya, CSM beruntung kerana menjadi pilihan beberapa selebriti tempatan untuk aktif membantu rakyat Syria seperti Mizz Nina dan Noh Hujan, Aizat Amdan dan Faizal Tahir selain Altimet.

Katanya, mereka menyertai misi kemanusiaan yang dikelolakan CSM sebagai sukarelawan dan bekerjasama dalam beberapa program dianjurkan untuk mengumpul dana.

“Kita tidak melantik sesiapa secara rasmi untuk menjadi duta CSM, tetapi sangat mengalu-alukan artis yang berminat menyertai misi kemanusiaan. Kami anggap mereka rakan kongsi dan sukarelawan.

“Tiada penyumbang terbesar cuma mereka membantu mengikut kemampuan masing-masing dan kami sangat menghargainya,” katanya.

Misi kemanusiaan terdekat yang bakal dianjurkan CSM adalah Korban CSM 6.0 pada Ogos depan dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank CSM 562834640983.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 5:25am
d