mutakhir

11 penyu mati tahun ini

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perikanan Pahang (JPP) mencatatkan 11 kes kematian penyu jenis agar sepanjang enam bulan tahun ini.

Pengarah Perikanan negeri, Datuk Azahari Othman berkata, kebanyakan kematian haiwan itu disebabkan tersangkut pada pukat dan masalah usus akibat termakan plastik.

Katanya, kematian penyu yang tertinggi dicatatkan Mac lalu iaitu enam ekor diikuti masing-masing dua pada Januari dan Februari serta seekor bulan lalu.

Menurutnya, kebanyakan bangkai penyu yang mati ditemui terdampar di pesisir pantai di Kuantan dan pegawai JPP melakukan siasatan selepas menerima aduan penduduk serta pelancong.

“Sepanjang tahun lalu lima kes kematian penyu jenis agar dicatat berbanding satu kes saja pada 2017.

“Dalam tempoh 12 tahun (2007-2018) 66 kes kematian membabitkan 64 penyu jenis agar dan dua jenis lipas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes kematian penyu itu kerana kebanyakannya disebabkan kecuaian manusia.

Katanya, JPP mengingatkan nelayan supaya menggunakan saiz mata pukat yang dibenarkan saja bagi mengelak penyu tersangkut atau terperangkap seterusnya mati.

Menurutnya, JPP juga menggalakkan nelayan tempatan menggunakan alat penyisih penyu (Turtle Excluded Device) khususnya bagi bot pukat tunda.

Beliau berkata, setiap tahun program kesedaran diadakan bagi memberi penerangan kepada nelayan supaya tidak sesuka hati membuang sampah terutama plastik ke laut dan sungai bagi mengelak penyu memakan bahan itu yang disangka ampai-ampai.

“Terdapat juga kes kematian penyu disebabkan terkena kipas bot.

“Diharapkan nelayan dan masyarakat memandang serius perkara ini bagi mengelakkan populasi haiwan ini berkurangan,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 9:04am
d