mutakhir

Tabung khas Irfan Wafiy dilancar

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KERAJAAN negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan melancarkan tabung khas bagi membantu murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan menghidap penyakit Myokymia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tabung itu bagi membantu proses pemulihan Irfan Wafiy yang menghidap penyakit berkaitan saraf.

Katanya, tujuan utama tabung ini diwujudkan adalah bagi membantu calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu terutama dalam mendapat kepakaran luar.

“Ia termasuk bagi mengenalpasti penyakit yang dihidapi dan apakah rawatan terbaik yang boleh diberikan kepada murid itu.

“Selepas mengenalpasti rawatan yang perlu, kami jangka ia dapat dilaksanakan selepas peperiksaan September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Irfan Wafiy yang menderita penyakit berkenaan dipercayai akibat bencana sisa kimia Sungai Kim Kim Mac lalu.

Aminolhuda melawat kanak-kanak itu di SK Taman Bukit Dahlia hari ini.

Aminolhuda sebelum itu meninjau bacaan kualiti udara dan kompaun organik tidak stabil (VOC) di sekolah berkenaan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.

Aminolhuda berkata, ketika ini pakar akan meneliti keadaan Irfan Wafiy secara rapi sebelum menentukan rawatan terbaik yang boleh diberikan kepadanya.

Sementara itu, keluarga Irfan Wafiy menyambut baik usaha kerajaan negeri menubuhkan tabung bantuan bagi membantu memulihkan penyakitnya.

Bapanya, Idham Wazir A Wahab, 49, berkata, mereka menghargai bantuan diberikan kerajaan negeri itu.

“Saya menghargai usaha kerajaan negeri melancarkan tabung bantuan ini kerana ia menjadi keperluan lebih-lebih lagi jika memerlukan bantuan pakar luar negara.

“Setakat ini pihak hospital masih belum dapat mengenal pasti rawatan terbaik bagi memulihkan penyakit anak saya,” katanya.

Menurutnya, dari segi perbelanjaan dia menguruskan kos merawat anak lelakinya itu termasuk menghantarnya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Irfan Wafiy juga bergantung kepada makanan tambahan berkaitan saraf dan ia bukan ubat biasa,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 11:33am
d