mutakhir

Tokan dadah antara 47 individu ditahan

Oleh Fardy Bungga

EMPAT pengedar dadah antara 47 individu yang ditahan polis dalam operasi selama seminggu berakhir Jumaat lalu.

Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu menumpukan kawasan tumpuan Op Tapis dan Op Sarang yang pernah diserbu sebelum ini.

Antara kawasan yang terbabit adalah sekitar Likas, Kampung Numbak dan Kampung Cenderamata 2, yang dikenalpasti menjadi lokasi berpotensi tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepanjang tempoh itu 25 serbuan berjaya dilakukan.

Katanya, hasil keseluruhan serbuan itu, polis menahan 47 individu berusia lingkungan 14 hingga 61 tahun.

“Dalam operasi ini, empat orang dikenalpasti pengedar dadah, lima individu memiliki dadah dan 37 individu lain ditahan selepas gagal ujian saringan air kencing.

“Seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LPPK) 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, 33 individu yang ditahan adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

Katanya, pihaknya turut merampas 44.89 gram syabu, 103.40 gram ketamin, 97 gram ekstasi dan 1,746 gram serbuk ekstasi bernilai RM49,233.50 mengikut harga pasaran semasa.

Sementara itu, Habibi berkata, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi dikenalpasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu katanya, polis menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220, 088-529211 atau WhatsApp ke talian 019-2182729.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 11:52am
d