mutakhir

Mohd Kamarudin Ketua Polis Johor baharu [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TIMBALAN Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dilantik Ketua Polis Johor berkuat kuasa hari ini.

Mohd Kamarudin, 55, mengambil alih tugas itu daripada bekas Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd yang dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Penyerahan tugas sebagai peneraju Polis Kontinjen Johor kepada Mohd Kamarudin diadakan di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, sambil disaksikan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Tajudin Mat Isa.

Mohd Khalil kemudian menyerahkan nota tugas dan tongkat kuasa sebagai simbolik penyerahan tugas Ketua Polis Johor kepada Mohd Kamarudin.

Mohd Kamarudin mempunyai pengalaman berkhidmat selama 31 tahun dalam PDRM dan kini memangku pangkat Komisioner.

Terdahulu, Mohd Khalil menyempurnakan Upacara Perbarisan di Dataran Kawad IPK Johor.

Dalam ucapannya Mohd Khalil melahirkan puas hatinya apabila dapat berkhidmat di Kontinjen Johor selama setahun 10 bulan berikutan sokongan padu semua pegawai dan anggota.

“Iltizam dan komitmen bersungguh-sungguh dari semua peringkat di kalangan kita menjadikan Johor negeri aman, damai, tenteram dan kondusif untuk sebarang aktiviti ekonomi.

“Johor sangat ‘vibrant’ dalam semua aspek, tetapi kita berjaya mempromosikan Johor dengan keringat kita dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan serta jenayah dikawal pada tahap minima,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pegawai dan anggota berhati-hati ketika menjalankan tugas berikutan zaman sekarang banyak kes ditularkan di media sosial membabitkan polis.

“Ini boleh menggugat kredibiliti pegawai dan anggota bawahan. Jangan cepat melatah, sebaliknya siasatan perlu dibuat secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

“Zaman pun berubah. Kita tidak boleh terlalu mengikut kata hati dan naluri sehingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada pasukan, keluarga dan diri kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, turut berlangsung majlis serah terima tugas antara isteri Mohd Khalil, Datin Radziah Zakaria dengan isteri Mohd Kamarudin, Datin Johariah Urib Mohd Ariffin bagi jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor.

Upacara itu disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM, Datin Seri Mastura Hashim.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 12:30pm
d