mutakhir

Ajal lepas beli barangan perkahwinan

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PENYELIA keselamatan yang bakal melangsungkan perkahwinan pada September ini maut dalam kemalangan di Kampung Padang Landak, Jertih, malam tadi.

Difahamkan mangsa, Mohd Ash Shahid Abdul Wahab, 25, dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan selepas membeli barangan perkahwinan bersama tunang, bakal bapa mentua dan ahli keluarga lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa yang beralamat di Kampung Gong Bayor memandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu dari arah Bukit Yong, Pasir Puteh menghala ke Jertih hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaan itu melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan dan terus melanggar tiang elektrik di sebelah kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, tiga lagi penumpang kenderaan pacuan empat roda itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, penumpang hadapan, Noor Azziani Kafli, 20, patah jari tangan manakala penumpang bekalang, Mohamad Abd Latif, 57, beralamat di Kampung Gong Nering, mengalami luka di tangan.

“Anak kepada Mohamad, Nor Najihah Mohamad, 21, mengalami kecederaan di tangan dan seorang lagi penumpang, Mohammad Danish Afzal Mohd Nazeri, 11, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian permukaan jalan basah dan hujan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang kenalan arwah yang enggan dikenali berkata, arwah seorang yang baik dan mudah disenangi ramai.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor jam 2 pagi tadi,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 2:09pm
d