mutakhir

[UPDATE] Lambaian terakhir

Oleh Siraj Mohd Zaini

“KEDUA-duanya melambai tangan dan berkata ‘bye mama’ sebelum saya dan suami keluar rumah bagi menyediakan tempahan makanan untuk anggota bomba bertugas di Pelabuhan Klang.

“Tak dapat dibayangkan macam mana mereka menghadapi azab kebakaran itu sebelum meninggal dunia,” kata ibu dua beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran di Jalan Utama, Kampung Endah, Kuala Langat Serihayati Ngainan, 48.

Mengimbas semula kejadian itu, Serihayati berkata, dia dan suami, Mohd Fakrul Khair Baharin, 41, keluar dari rumah sewa mereka 8 malam tadi.

Katanya, dua anak perempuan serta seorang anak lelaki sulungnya berada di rumah dan mereka juga sudah selesai menikmati makan malam serta solat Maghrib berjemaah.

“Saya dapat tempahan dari Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang untuk menyediakan makanan bagi anggota bomba yang memadamkan kebakaran kilang kimia di Pelabuhan Klang.

“Jadi pada 8 malam saya keluar bersama suami, ketiga-tiga anak tinggal di rumah kerana mereka sudah biasa sejak kami berniaga makanan,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Banting hari ini.

Serihayati berkata, mereka selesai kerja 2 pagi namun diminta menyediakan sarapan pagi untuk anggota bomba yang memadamkan kebakaran kilang terbabit.

“Jadi saya dan suami putuskan bermalam di hotel di Pelabuhan Klang, sebab lewat dan perlu bersedia awal pagi untuk memasak.

“Sebaik tiba di hotel, kami menerima panggilan daripada adik yang memaklumkan rumah terbakar,” katanya.

Serihayati berkata, ketika kejadian kedua-dua anak perempuannya saja tinggal di rumah manakala anak sulungnya berusia 17 tahun keluar makan di restoran berhampiran kediaman mereka.

“Bila dapat panggilan adik, mereka tidak maklumkan keadaan kedua-dua anak saya, cuma mereka menangis.

“Apabila tiba di rumah 3.45 pagi, rumah atas berkayu papan sudah musnah terbakar dan kedua-dua anak juga pergi meninggalkan saya,” katanya.

Katanya, kedua-dua anak gadisnya itu disifatkan pandai berdikari serta ringan tulang membantu keluarga selain turut cemerlang dalam pelajaran.

Difahamkan, Nur Salsabila, 15, dan adiknya Nur Ain Sumayyah, 13, terperangkap dalam bilik hadapan rumah kayu kerana api mulai marak.

Jenazah kedua-dua beradik itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Endah di sini selepas selesai proses bedah siasat.

Berita berkaitan

Terkilan gagal selamatkan anak saudara

Dua beradik maut kebakaran

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 3:01pm
d