mutakhir

Politik di Perak bergolak lagi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BELUM pun reda isu siasatan polis terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia, kini timbul pula dakwaan baru terdapat EXCO membocorkan kertas minit mesyuarat untuk mendapatkan komisyen penjualan tanah pertanian.

Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian semalam membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan mendakwa mempunyai bukti serta saksi membabitkan dakwaannya itu.

Susulan dakwaan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari, tampil menafikan perkara itu dan membuat laporan polis mengenainya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu berkata, selain laporan polis berhubung konspirasi jahat bertujuan membunuh karier politiknya itu, dia juga akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin PKR berhubung pembabitan beberapa ahli yang cuba menjatuhkannya.

“Laporan rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan dibuat mengenai pembabitan seorang guru yang juga bekas pegawai khas saya yang dipercayai turut bersubahat melakukan fitnah dan tuduhan palsu ini.

“Kami mengesan beberapa anggota parti, termasuk guru berkenaan yang masih bertugas di sebuah sekolah menengah di Bagan Serai dipercayai bersubahat dengan Yong Kean dalam membuat fitnah bagi menjatuhkan saya dan menggugat pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Abdul Yunus berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Kerian, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan terhadap dirinya yang dituduh membocorkan kertas minit mesyuarat EXCO tahun lalu bagi mendapatkan komisyen daripada penjualan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar, Abdul Yunus percaya ia bermotifkan dendam.

“Saya yakin Yong Kean mempunyai motif dendam terhadap saya berikutan tidak menyokong permohonan tanah yang dimintanya sejak tahun lalu.

“Saya sudah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal dan elaun sebagai ADUN serta EXCO sudah mencukupi, malah pada 2009 saya tolak rasuah puluhan juta untuk lompat parti dan adalah pelik jika saya ingin mengambil rasuah beberapa ratus ribu seperti dituduh sekarang,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan dibuatnya malam tadi berhubung dakwaan itu, Abdul Yunus mendedahkan usaha menjatuhkan dirinya sudah bermula sejak pemilihan PKR tahun lalu semata-mata kerana pendirian teguhnya bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Konspirasi jahat ini kini diteruskan untuk menjatuhkan saya sebagai EXCO dan mensabotaj kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu khususnya menjelang Istiadat pelantikan dan angkat sumpah EXCO dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, dia percaya ada dalang di sebalik tuduhan itu dan Yong Kean mungkin diperalatkan oleh pihak tertentu bagi mencalarkan integriti dan imejnya sebagai EXCO.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 3:10pm
d