mutakhir

Litar pintas punca terbakar

Oleh Siraj Mohd Zaini

PUNCA kebakaran rumah di Jalan Utama, Kampung Endah, Kuala Langat yang mengorbankan dua beradik hari ini disebabkan litar pintas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kebakaran berlaku daripada litar pintas.

Menurutnya, tiada unsur jenayah dikesan dalam kebakaran itu.

“Siasatan mendapati ia rumah kampung yang materialnya 100 peratus kayu, keseluruhan rumah terbakar hangus.

“Rumah ini didiami lima sekeluarga dan ketika kejadian hanya ada dua mangsa perempuan adik beradik dalam rumah, abang mangsa di luar untuk makan manakala ibu bapa di Pelabuhan Klang untuk membekal makanan kepada petugas kebakaran kilang,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa, kedua-dua remaja perempuan itu berlari-lari di dalam rumah untuk cuba melepaskan diri namun gagal.

“Kebakaran ini menyebabkan rumah itu hangus tidak sampai sejam.

“Kedua-dua mangsa dicam dan disahkan oleh ibu bapa serta bapa saudara, proses bedah siasat juga sudah dilaksanakan dan punca kematian akibat terbakar,” katanya.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa, Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15 dan Nur Ain Sumayyah, 13, ditemui meninggal dunia akibat kebakaran berkenaan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Lambaian terakhir

Terkilan gagal selamatkan anak saudara

Dua beradik maut kebakaran

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 3:31pm
d