mutakhir

Janda muda proses dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA janda bersama seorang duda ditahan polis ketika leka membungkus dadah di sebuah rumah di Kubur Panjang, dekat sini, petang semalam.

Dalam serbuan pada jam 5.30 petang, suspek lelaki berusia 42 tahun bersama teman wanitanya seorang janda muda berusia 25 tahun dan seorang lagi janda berusia 44 tahun ditahan di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bersama anggota Balai Polis Kubur Panjang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui beg bersama tiga paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 17.93 gram dan satu plastik mengandungi syabu seberat 0.18 gram bersama suspek.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati, ketiga-tiga suspek positif dadah,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mengesahkan suspek lelaki memiliki empat rekod kes lampau berkaitan dadah manakala dua wanita masing-masing mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes sama.

Beliau berkata, pasangan kekasih berasal dari Pokok Sena dan menjadikan rumah wanita berusia 44 tahun itu sebagai tempat melepaskan gian.

“Turut dirampas motosikal jenis Yamaha Nouvo LC untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 3:40pm
d