mutakhir

2 beradik hilang dari madrasah cetus misteri

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA beradik dilaporkan hilang dari sebuah madrasah di Batu Kurau, Taiping, sejak hampir dua minggu lalu dipercayai melarikan diri daripada madrasah berkenaan.

Muhammad Danial Ridhwan Anuar, 11 dan abangnya, Muhammad Akmal Affandy, 15, disedari hilang oleh tenaga pengajar di madrasah berkenaan kira-kira 6.45 pagi pada 2 Julai lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada bapa kedua-dua beradik terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, bapa mangsa kemudian berusaha mencari anaknya namun tidak berjaya sebelum membuat laporan polis, kelmarin.

“Ustazah madrasah menyedari dua beradik ini hilang pada 2 Julai lalu dipercayai melarikan diri dari madrasah.

“Mangsa baru seminggu dihantar ke situ dan ustazah memaklumkan kehilangan kepada bapa mangsa yang kemudian berusaha mencari mereka, namun gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, bapa mangsa bertindak membuat laporan polis pada 2.45 petang, kelmarin, dan usaha mengesan kedua-duanya kini sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua beradik ini boleh menghubungi Inspektor Mohd Ashrul Afiq Abdul Halim di talian 019-395 7182 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-829 1222,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 5:11pm
d