mutakhir

YWP salur bantuan persekolahan RM1.5 juta [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

BANTUAN RM1.5 juta diserahkan kepada sekolah tahfiz, agama swasta dan persendirian Cina yang diperuntukkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, peruntukkan itu merangkumi RM1 juta untuk sekolah tahfiz dan agama swasta manakala RM500,000 lagi kepada sekolah persendirian Cina.

Beliau berkata, peruntukkan itu memberi manfaat kepada 22,000 pelajar di semua pusat pendidikan berkenaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Diharapkan pihak sekolah menggunakan bantuan sebaik mungkin bagi memastikan pelajar terus bersemangat belajar, sekali gus meningkatkan prestasi mereka.

“Setiap tahun, jutaan ringgit dibelanjakan untuk bidang pendidikan bagi memastikan sekolah, guru dan pelajar terus diperkasa manakala yang tidak berkemampuan dibela.

“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan bagi mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi YWP berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan kepada Pusat Tahfiz, Sekolah Agama Swasta dan Sekolah Persendirian Cina di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar serta 200 wakil sekolah.

Khalid berkata, agihan peruntukkan dilakukan mengikut kapasiti murid di setiap sekolah berkenaan.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 6:34pm
d