mutakhir

Rampas 18,500 biji pil kuda [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS menahan tujuh lelaki termasuk seorang remaja warga Thailand dan merampas 18,500 biji pil kuda dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Tanah Merah, Jumaat lalu.

Dalam serbuan antara 9.30 malam hingga 11.50 malam itu, turut dirampas 150 biji Erimin 5 dan 55 gram syabu dengan jumlah keseluruhan rampasan hampir RM200,000.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tanah Merah melakukan serbuan pada 9.30 malam terhadap sebuah Proton Putra dinaiki empat lelaki berusia antara 19 hingga 28 tahun termasuk seorang warga Thailand di Jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah.

Katanya, anggota yang menggunakan kenderaan pasukan menghalang kereta dinaiki empat lelaki itu dengan merempuh dari arah depan dan belakang sebelum mereka cuba melarikan diri.

“Cubaan mereka itu gagal apabila berjaya ditahan dan pemeriksaan dalam kenderaan menemui satu beg galas mengandungi 12,000 pil kuda dengan nilai RM120,000.

“Tiga lelaki tempatan ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua lelaki tempatan itu dan remaja Thailand positif dadah jenis Methamphetamine dan Benzodiazepine.

“Siasatan mendapati, bekalan dadah diperoleh dari seorang lelaki warga Thailand berasal dari Sungai Golok yang diserahkan di Kampung Tasek, Rantau Panjang untuk diedar di kawasan Tanah Merah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Azmi berkata, dalam kes kedua polis merampas 1,300 pil kuda bernilai RM13,000 dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 di tepi jalan Kampung Bechah Palas, Pasir Mas, pada 10.45 malam.

Katanya, dadah itu ditemui dalam kotak rokok dan beg pinggang selepas pemeriksaan terhadap lelaki terbabit yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Pada hari sama, kami turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian pada 11.50 malam dan menahan dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun bersama 5,200 pil kuda, 55 gram syabu dan 150 biji Erimin 5.

“Enam lelaki ditahan di Tanah Merah dan Kota Bharu akan direman selama tujuh hari, manakala seorang lagi di Pasir Mas direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 7:59pm
d