mutakhir

'Sayangnya, adik sudah tiada...'

Oleh Nazri Abu Bakar

“ADIK tidak sabar menunggu hari bersejarah ini (konvokesyen) dan sepatutnya dia naik ke pentas mengambil skrol tetapi dia sudah pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Masleyah Alias, 33.

Arwah adiknya, Nor Tiara Alias, 22, sepatutnya seorang daripada 1,430 graduan yang dianugerahkan diploma pada Istiadat Konvokesyen ke-18 Politeknik Merlimau Melaka (PMM), hari ini.

Bagaimanapun, Nor Tiara, graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering meninggal dunia pada 15 September 2018 akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.

Menurut Masleyah, Nor Tiara tidak menyatakan apakah cita-citanya, namun hanya memberitahu ingin membantu ayah dan ibu sepanjang kehidupannya.

“Dia sempat bekerja kira-kira dua bulan di sebuah restoran terkenal di ibu negara sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Kami amat bersedih dengan pemergiannya, namun reda dengan ketentuan Ilahi. Tiada lagi keletah tawa serta senda guraunya,” katanya.

Bercerita lanjut sempena konvokesyen arwah adiknya itu, Masleyah berkata, Nor Tiara ada merancang untuk menyewa inap desa untuk menginap bersama keluarga sempena konvokesyennya.

Katanya, keterujaannya adiknya untuk menyertai konvokesyen memang sukar dinyatakan, namun semuanya sudah ditakdirkan dan dalam kemalangan itu, seorang lagi adiknya, Nor Elian, 25, yang ketika itu bersama Nor Tiara, retak tulang tengkuk.

Sementara itu, bagi bapa arwah Nor Tiara, Alias Ali, 64, berkata, dia reda dengan kejadian itu dan anak bongsu daripada enam beradik itu hanya ‘dipinjamkan’ sementara kepadanya dan isteri.

“Pada hari kejadian saya dan isteri menunggu sepanjang malam sebelum dikejutkan dengan berita duka itu,” katanya.

Terdahulu, pada istiadat itu, Nor Erlian, mewakili arwah adiknya naik ke pentas menerima skrol Nor Tiara yang disampaikan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains Dan Inovasi Negeri, Noor Effandi Ahmad.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 8:06pm
d