mutakhir

'Minta duit untuk ke Kuala Kangsar'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA beradik yang dilaporkan hilang dari sebuah madrasah di Batu Kurau, Taiping, dikesan berada di bandar raya Ipoh, tengah hari tadi.

Anuar Yusof, 52, bapa kepada Muhammad Danial Ridhwan Anuar, 11, dan Muhammad Akmal Affandy, 15, berkata perkara itu dimaklumkan pihak polis yang menerima maklumat mengatakan ada individu melihat mangsa hari ini.

“Pegawai penyiasat memberitahu ada seorang jururawat melihat dua anak saya di Ipoh dan mereka meminta duit untuk tambang bas ke Kuala Kangsar.

“Namun ketika itu, berita mengenai kehilangan mereka belum tersebar dan jururawat terbabit tidak mengetahuinya dan hanya melaporkan kepada polis selepas membaca berita serta melihat gambar Muhammad Danial Ridhwan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia percaya dua kanak-kanak yang ditemui dan meminta wang dengan jururawat terbabit adalah anaknya yang mungkin mahu ke rumah bapa saudara mereka di Kuala Kangsar.

“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada abang ipar saya di Kuala Kangsar, namun setakat ini mereka tiada di sana.

“Harap mereka berdua selamat kerana keluarga bimbang susulan mereka keluar dari madrasah tanpa sebarang wang dan pengenalan diri serta tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya.

Menceritakan kembali apa yang berlaku, Anuar yang menetap di Pulau Pinang berkata, dia menghantar dua beradik itu ke madrasah awal bulan ini dan kedua-duanya disedari hilang pada 8 Julai lalu.

“Saya bercadang melawat mereka pada 7 Julai lalu, namun tidak berkesempatan kerana cukai jalan kereta tamat tempoh dan terkejut apabila diberitahu kehilangan mereka keesokan harinya.

“Sebelum dihantar, dua beradik ini agak keberatan memasuki madrasah berkenaan terutama Muhammad Danial, tetapi selepas dipujuk akhirnya mereka bersetuju dan tidak sangka jadi macam ini pula,” katanya.

Anuar berharap orang ramai yang melihat atau terjumpa dua beradik itu supaya membantu dengan menghubungi polis atau menyerahkan mereka ke mana-mana balai polis berhampiran.

Berita berkaitan

2 beradik hilang dari madrasah cetus misteri

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 9:03pm
d