mutakhir

Tekad ubah kehidupan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KECEKALAN ibu bapa membesarkan tiga beradik membulatkan tekad graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Nur Hayati Mualim, 25, untuk berjaya sekali gus membalas jasa kedua-dua orang tuanya.

Usaha gigihnya menuntut ilmu di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Lang di sini, berhasil apabila dinobatkan penerima Anugerah Khas Tan Sri Rozali Ismail sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS, kelmarin.

Nur Hayati berkata, kesusahan ibu bapanya, Mualim Ghazali, 55 dan Mariyah Iksan, 55, membesarkan dia tiga beradik menyuntik semangatnya untuk memperoleh kejayaan, seterusnya memperbaiki ekonomi keluarga.

“Kesusahan ayah dan mak membanting tulang empat kerat membesarkan kami tiga beradik menyebabkan saya tekad mengubah kehidupan.

“Malah, pekerjaan mereka (mak dan ayah) sebagai pekerja gudang dan tukang cuci sedikit pun tidak melunturkan semangat saya berjuang mendapatkan kejayaan yang diidamkan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, kejayaan yang dikecapi tidak semudah disangka tanpa sokongan ahli keluarga, khususnya ibu bapanya.

“Keluarga saya bukan orang senang. Setiap hari, mak dan ayah bekerja keras menyara kami adik beradik demi mendapatkan pendidikan yang sempurna.

“Alhamdulillah, saya berjaya menyambung pelajaran di PSIS dan kemudian pernah diberi kepercayaan menjadi wakil PSIS bagi Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Tawau, Sabah pada Julai 2016, ” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu kini bekerja sebagai perintis penyelia keselamatan di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Nur Hayati yang berasal dari Batu 6 Setengah, Gombak berkata, kejayaan menjadi wakil YSS mewakili PSIS memberi kepuasan tersendiri.

“Tambahan pula, ilmu yang diperoleh ini tidak akan dipersiakan dan berharap menjadi contoh kepada orang lain khususnya pelajar yang baru mendaftarkan diri di PSIS,” katanya.

Terdahulu, seramai 473 graduan diraikan sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS, di sini, membabitkan 162 graduan Jabatan Kejuruteraan Awam, 116 graduan Jabatan Perdagangan, 120 graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti serta 75 graduan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Majlis dirasmikan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 6:01am
d