mutakhir

Ternak lembu wagyu

Oleh Nor Amalina Alias

PERMINTAAN tinggi daging lembu wagyu menarik minat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk menternak lembu baka Jepun itu di negeri ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Zulkfli Zakaria berkata, sebanyak lima lembu wagyu dibeli dari Thailand oleh dua individu dengan kos ditanggung mereka untuk diuji kesesuaian ternakan itu di negeri ini.

Katanya, KADA berminat mengetahui cara ternakan dan penjagaan lembu itu yang terkenal dengan kelembutan dagingnya yang berjus sehingga dijual antara RM200 hingga RM300 sekilogram.

“Daging wagyu kini menjadi hidangan dianggap mewah sehingga orang berebut-rebut mahu makan.

“Melihat potensi pasaran daging ini, kita berhasrat mengajar penternak untuk memelihara lembu ini.

“Kita juga galakkan jika ada pihak industri atau berkaitan bekerjasama dengan KADA bagi membawa masuk ternakan ini dan jayakan program penternakan lembu wagyu di Kelantan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, idea penternakan lembu wagyu diilhamkan Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa yang melihat potensi daging lembu itu yang boleh dijadikan menu pelbagai hidangan.

Katanya, pembelian lima lembu itu dilakukan bulan lalu dan akan dijadikan antara aktiviti ternakan di bawah KADA jika bersesuaian.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 6:10am
d