mutakhir

Pak Su reka inovasi baharu

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LEBIH lima tahun menceburi bidang rekaan tangan bionik atau mekanikal yang bertujuan membantu golongan kurang upaya (OKU), Sujana Mohd Rejab, 51, kini mengorak langkah dalam inovasi rekaan terbarunya yang berfungsi sebagai alat sokongan kepada pesakit lumpuh.

Bekas guru bahasa Inggeris yang lebih mesra dipanggil Pak Su itu mula mereka cipta tangan mekanikal pada 2013 bagi membantu dan memberi keceriaan kepada insan yang memerlukan terutama kanak-kanak yang mempunyai kekurangan anggota tangan.

Hingga kini ratusan tangan robotik dihasilkannya melalui teknologi cetakan tiga dimensi (3D) dan diserah kepada penerimanya di seluruh Malaysia serta luar negara.

Sujana berkata, hasil rekaan tangan mekanikalnya itu ramai yang ingin mendapatkan bantuan termasuk pesakit lumpuh akibat serangan angin ahmar dan kemalangan, namun dia tidak dapat membantu kerana rekaannya tidak sesuai untuk pesakit lumpuh.

“Bermula daripada situ, timbul idea bagi menghasilkan alat bantuan untuk pesakit lumpuh berkenaan dalam membantu mereka menggerakkan anggota tangan yang lumpuh.

“Rekaan terbaru ini bertujuan lebih kepada membantu pesakit melakukan fisioterapi bagi memudahkan pergerakan tangan yang lumpuh,” katanya di pejabatnya MyVista Sdn Bhd di Arked Mara Taiping.

Menurutnya, projek inovasi itu dimulakannya setahun lalu dengan bantuan anak didiknya, Mohamad Syukri Sulaiman, 32, dalam membuat penyelidikan serta menggunakan peralatan sedia ada di pasaran yang kemudian dipertingkatkan keupayaannya menggunakan mekanikal serta cetakan 3D.

“Di pasaran memang ada alat sokongan tangan yang hanya bertindak sebagai sokongan dan pesakit perlu berusaha sendiri menggerakkan tangan untuk fisioterapi dan ia sukar bagi mereka yang lumpuh.

“Saya pertingkatkan keupayaan alat sokongan itu dengan memasang motor bagi membolehkannya bergerak secara automatik, sekali gus memudahkan pesakit menggerakkan tangan mereka,” katanya.

Sujana berkata, rekaannya itu masih di fasa pertama dan pihaknya mengumpul maklum balas daripada pesakit serta membuat lebih kajian dan penyelidikan (R&D) untuk meningkatkan lagi fungsi alat berkenaan pada masa hadapan.

“Buat masa ini saya baru membuat dua rekaan alat berkenaan untuk dua pesakit berbeza membabitkan sokongan bagi tangan kiri dan satu lagi bagi tangan kanan yang setiap satu memerlukan kos sekurang-kurangnya RM3,500.

“Saya berharap lebih banyak sektor korporat atau agensi kerajaan dapat menyumbang dana bagi menjayakan program ini dalam membantu golongan memerlukan selain mengembangkan hasil inovasi rakyat tempatan,” katanya.

Rekaan Sujana turut mendapat perhatian Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusoff yang hadir ke pejabatnya bagi melihat sendiri hasil rekaan itu serta pihaknya bersetuju membantu apa yang mampu dalam menjayakan inovasi berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Syukri yang juga guru Pendidikan Islam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berkata, minatnya yang mendalam dalam bidang reka bentuk membuatkannya ingin belajar dan membantu Pak Su.

“Peranan saya lebih kepada mengendalikan mesin cetakan 3D bagi rekaan tangan mekanikal dan terbaru untuk peralatan sokongan pesakit lumpuh ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 6:20am
d