mutakhir

Hasil kutipan GST tak hilang - PAC

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tidak berlakunya kehilangan wang RM19.4 bilion hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ia dirumuskan selepas pihaknya meneliti keterangan 10 saksi dan taklimat Ketua Audit Negara serta pandangan Peguam Negara menerusi prosiding yang dimulakan 12 September lalu.

Beliau berkata, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST digunakan untuk tujuan pembiayaan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.

Katanya, kerajaan sebelum ini terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil cukai itu.

“Penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit.

“Kerajaan turut mengumumkan akan membuat bayaran balik cukai GST tahun ini menggunakan sebahagian daripada dividen khas PETRONAS berjumlah RM30 bilion,” katanya menerusi kenyataan yang diedarkan di Parlimen hari ini.

Menurut Noraini, prosiding PAC itu turut memanggil Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Akauntan Negara.

Beliau berkata, dalam prosiding itu beberapa isu turut dibangkitkan antaranya kegagalan memasukkan kutipan GST ke dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST, tempoh masa pemprosesan bayaran balik, kemampuan kerajaan membayar tuntutan, pengurusan aliran tunai serta status tuntutan yang belum dibayar.

Katanya, menerusi prosiding itu, PAC turut merumuskan bahawa tindakan kerajaan sebelum ini yang memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan sebelum dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan, adalah tidak selaras dengan Peruntukan Seksyen 54 (2) dan Seksyen 54 (5) Akta GST 2014.

Katanya, penetapan dasar untuk memindahkan 35 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST bagi setiap tahun dari Kumpulan Wang Disatukan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST apabila diperlukan, adalah tidak mencukupi bagi menampung permohonan pembayaran balik cukai itu.

“Berdasarkan keterangan ketika prosiding, PAC mendapati kadar penetapan dasar sewajarnya sekurang-kurangnya 42 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Noraini berkata, PAC mengesyorkan supaya pentadbiran kerajaan mematuhi undang-undang dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran lebih teratur dan berakauntabiliti.

“Selain itu, pegawai yang diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran kerajaan mengenai undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu gentar atau pilih kasih,” katanya.

Kenyataan itu adalah lanjutan daripada kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Ogos 2018 yang menyatakan bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion dirompak kerajaan terdahulu.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 12:00pm
d