mutakhir

Rujuk Guan Eng ke jawatankuasa - Ismail Sabri

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

AHLI Parlimen pembangkang mendesak supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada sesi Dewan Rakyat kali ini kerana didakwa membuat kenyataan mengelirukan berhubung pulangan balik wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, desakan itu dilakukan ekoran laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan bahawa tiada kehilangan wang daripada hasil kutipan GST ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Kata beliau, kenyataan Guan Eng di Dewan Rakyat pada 8 Ogos tahun lalu bahawa wang itu “dirompak” kerajaan terdahulu adalah satu pembohongan.

“PAC menyatakan keputusan bahawa wang itu tidak ‘dirompak,’ bermakna Yang Berhormat (YB) Bagan berbohong dan mengelirukan Dewan.

“Jadi kita minta perkara ini dibahaskan dan diputuskan supaya YB Bagan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada mesyuarat sesi kali ini.

“Jika ditangguhkan, mesyuarat akan datang bermula pada Oktober dan pada masa itu, kita akan membahaskan bajet, maka ia perlu disegerakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail Sabri lagi, tindakan menuduh kerajaan terdahulu sebagai perompak adalah sangat serius dan tidak boleh dimaafkan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut meminta polis supaya membuat tindakan susulan berhubung laporan yang dibuat beliau mengenai kenyataan Guan Eng itu, sebelum ini.

Kata Khairy, apabila sudah disahkan PAC, polis mesti mengambil tindakan susulan memandangkan ia berkaitan jenayah.

“Kalau tidak ada (unsur) jenayah, polis sekurang-kurangnya perlu mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Hasil kutipan GST tak hilang - PAC
  • Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 1:38pm
    d