mutakhir

Imam dan makmum zikir berdiri akan dipanggil

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) akan memanggil imam dan makmum sebuah surau di Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut berhubung aktiviti berzikir sambil berdiri dan menggerakkan badan yang tular sejak kelmarin.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawainya ke kampung berkenaan untuk mendapatkan keterangan daripada mereka yang terbabit dalam aktiviti itu.

Katanya, siasatan terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil dan masih terlalu awal untuk mengaitkan aktiviti itu dengan ajaran sesat atau sebagainya.

“Rakaman video yang dimuatnaik di laman sosial itu pun terlalu pendek, sukar untuk kita menilai aktiviti itu jika hanya bergantung dari video berkenaan.

“Justeru, saya sudah arahkan beberapa pegawai untuk mendapat maklumat dan gambaran jelas mengenainya.

“Kita juga akan memanggil imam dan makmum yang terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ghazali berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, lelaki mengetuai aktiviti itu kononnya terbabit dalam perubatan Islam dan aktiviti itu adalah sebahagian daripada proses perubatannya.

Katanya, JAIP sebelum ini tidak pernah menerima laporan berhubung aktiviti itu dan siasatan dilakukan mengambil kira semua aspek.

“Kita akan siasat sama ada aktiviti itu pernah dilakukan atau tidak sebelum ini dan kaitannya dengan ajaran sesat lain yang pernah wujud di negeri ini,” katanya.

Media semalam melaporkan penularan tiga klip video dipercayai dirakam Khamis lalu memaparkan sekumpulan penduduk di kampung itu berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota badan.

Video berdurasi antara 0.22 saat dan 1.12 minit itu dipercayai dirakamkan penduduk yang mengikuti aktiviti dilakukan di sebuah surau kampung terbabit.

Ia diketuai lelaki dikenali Tok Ki @ Tok Ayah yang dilakukan selepas solat.

Berita berkaitan

Zikir Tok Ki menyeleweng daripada Islam

Zikir cara apa ni? [METROTV]

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 2:56pm
d