mutakhir

Kapal nelayan ingkar bakal jadi tukun!

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KAPAL penangkap ikan negara asing yang menceroboh negara ini bakal berdepan tindakan tegas termasuk dihapus atau ditenggelamkan sekiranya melanggar peraturan menerusi polisi baharu yang bakal dirangka tidak lama lagi.

Selain itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kapal tempatan sedia ada juga tidak terkecuali daripada tindakan itu dalam usaha kerajaan mengekang penyalahgunaan lesen kapal perikanan laut dalam di negara ini.

“Kita mesti berlaku tegas, mungkin di peringkat awal orang mengatakan kita kejam tetapi saya berjanji dalam dewan yang mulia ini, beberapa polis baharu mengenai perikanan akan dirangka untuk pemerhatian kerajaan dan harap dapat diluluskan.

“Ia termasuk menghentikan kegiatan vesel (kapal) yang menyalahgunakan lesen mereka.

“Selain itu, kita harus bertindak tegas untuk menenggelamkan atau menghapuskan vesel yang bukan sekadar kapal asing tetapi kapal sedia ada sekiranya mereka melanggari peraturan yang harus kita kuatkuasakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) mengenai penyalahgunaan lesen serta cadangan penggunaan alat yang lebih moden untuk menambah hasil laut negara.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, baru-baru ini, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kelautan Indonesia dan dua isu dikemukakan iaitu troler yang merosakkan ekosistem serta lesen yang disalah guna.

Salahuddin berkata, kementeriannya akan melakukan pendekatan holistik dan komprehensif bagi memastikan keseluruhan sistem dapat dibaiki.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kementeriannya mensasarkan 1.5 juta tan metrik pendaratan hasil perikanan tangkapan marin pada 2020.

Katanya, jumlah pendaratan perikanan laut dalam pada tahun ini dianggarkan sebanyak 259,801 tan metrik.

“Ia dianggarkan bernilai RM1.47 bilion iaitu 17 peratus daripada pendaratan ikan.

“Selain itu, sebanyak 1,138 kapal penangkapan ikan laut dalam dilesenkan dan masih aktif beroperasi sehingga hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 7:40pm
d