mutakhir

[UPDATE] Mungkin mangsa langgar lari [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS tidak menolak kemungkinan penemuan mayat lelaki berusia 50 tahun di Jalan Kuantan-Gebeng, di sini, disebabkan langgar lari.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menemui kesan kecederaan di kepala mangsa yang membawa kepada kematian lelaki berkenaan.

Menurutnya, pihaknya terima panggilan pada 10.50 semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat lelaki terbabit kira-kira 20 meter dari kenderaan mangsa jenis Toyota Hilux.

“Kita temui satu mayat lelaki dikenali sebagai G Ramesh berusia 50 tahun. Ketika ditemui bahagian muka mangsa ada kesan kemek dipercayai kesan langgar.

“Berdasarkan siasatan forensik kita percaya ia adalah kes kemalangan maut berdasarkan kesan fizikal yang terdapat di lokasi kemalangan.

“Dompet dan kad pengenalan mangsa turut ditemui dalam kenderaannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, hingga kini tiada laporan polis diterima pihaknya membabitkan kemalangan itu dan meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya melaporkan kepada polis.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengerusi MIC Pahang V Arumugam ketika ditemui di Jabatan Forensik HTAA mengesahkan mangsa adalah Ketua MIC Bahagian Paya Besar yang dipilih sejak tahun lalu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa yang juga bekas Ketua Pemuda MIC Pahang pada pagi tadi sebelum bergegas ke HTAA.

“Saya mengenali mangsa sudah berpuluh tahun dan mengenalinya dengan rapat. Beliau seorang yang aktif dalam parti serta bekerja keras untuk membangunkan parti ini.

“Pemergiannya satu kehilangan besar buat MIC Pahang. Kejadian sudah dimaklumkan kepada Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 8:20pm
d