mutakhir

5 tan daun ketum dirampas [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS berjaya merampas hampir lima tan daun ketum dan sejumlah 191.8 liter cecair yang disyaki air ketum bernilai RM49,878 dalam Op Tapis Bersepadu bermula pada 1 Julai sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, beberapa perkakas rumah dan peralatan yang digunakan bagi memproses air ketum turut dirampas.

Menurutnya, seramai 13 lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun termasuk seorang penjawat awam ditahan sepanjang operasi itu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kesemua suspek sudah dikenakan tindakan lanjut.

“Operasi yang dijalankan turut mendapat kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bagi mengekang aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Menurutnya, pihaknya turut membongkar taktik terbaru penyeludupan daun ketum bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

“Mereka mengubahsuai ekzos motosikal sehingga tidak mengeluarkan bunyi bagi mengelak daripada dikesan.

“Selain itu, ada sebahagian daripada pemandu lori kontena turut menerima upah bagi membawa muatan berisi daun ketum yang dibawa keluar ke negara jiran,” katanya.

Menurut Muhamad Halim, sepanjang tahun ini pihaknya sudah menahan 378 orang yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan ketum dengan nilai rampasan melebihi RM500,000.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 10:22pm
d