mutakhir

Remaja memancing lemas

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

REMAJA lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Sungai Muar dekat Pekan Rompin, Bahau, petang semalam.

K Sathis Kumar, 16, ditemui tersangkut pada sebatang kayu kira-kira 10 meter dari tebing sungai oleh pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau Muhamad Rasul Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 5.05 petang sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, bomba dimaklumkan oleh orang awam bahawa mangsa masih belum ditemui dan anggota kemudiannya membuat pemantauan awal sebelum memulakan pencarian.

“Anggota memasang tali merentasi sungai bagi memudahkan operasi pencarian dan berjaya menemui mayatnya tersangkut pada kayu selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Rasul berkata, mayatnya mangsa dibawa ke tebing sungai menggunakan alat pengusung dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada 6.02 petang.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 1:29am
d