mutakhir

Terbiar reput

Oleh Amran Yahya

KUALA PILAH: Sebuah masjid usang di Kampung Pelangai, di sini, meninggalkan banyak kenangan buat penduduk kerana pernah menjadi pusat pengajian reformasi Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh sekitar 1930-an.

Bagaimanapun, masjid yang berusia lebih seabad itu kini ditinggalkan terbiar, reput dan menunggu masa rebah menyembah bumi.

Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, masjid berkenaan perlu dijaga dan dikekalkan sebagai bahan sejarah.

Beliau berkata, jika dibiarkan usang dan tiada usaha pemulihan dilakukan, dibimbangi nilai sejarahnya hilang bersama bangunan berkenaan.

“Masjid Lama Pelangai dibina pada 1910 oleh penduduk kampung secara gotong-royong. Rekaannya dipengaruhi seni Demak.

“Bangunan ini memiliki tinggalan sejarah sangat bernilai kerana wujud seiring ulama tersohor Kuala Pilah pada ketika itu iaitu Maulana Lebai Maadah Layang.

“Maulana Lebai Maadah adalah imam masjid ketika itu dan beliau juga membuka Sekolah Tinggi Islam Pelangai terletak bersebelahan Masjid Kariah Pelangai yang ada sekarang ini,” katanya, semalam.

Menurutnya, kos pembinaan masjid dan sekolah agama itu dibiayai sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Malah, beliau berkata, masjid dan sekolah itu juga pernah menjadi tempat Shamsiah Fakeh menuntut ilmu.

“Pembinaan Masjid Lama Pelangai itu menggunakan reka bentuk Melayu lama dan mempunyai maksud tersirat di sebaliknya.

“Sebagai contoh tujuh anak mata tangga yang kini masih kukuh melambangkan kukuhnya ilmu yang diajar.

“Selain itu, ada lima tiang gantung di tengah-tengah bumbung masjid melambangkan lima Rukun Islam dan masih terdapat sebuah kolah digunakan untuk mengambil wuduk,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 5:35am
d