mutakhir

RM250.66 juta rampasan sindiket dadah tahun ini

Oleh BERNAMA

SERAMAI 95,045 orang ditahan disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan keseluruhan RM250.66 juta sejak 1 Januari hingga 4 Julai lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, daripada jumlah itu, seramai 35,706 orang memiliki dadah dan 14,497 mengedar bekalan dadah, manakala 44,842 disahkan positif dadah.

“Selain itu, polis turut merampas dadah jenis sintetik iaitu kristal syabu seberat 4,234.74 kilogram (kg); ketamin (54.25kg); pil ekstasi (60.07kg); pil yaba (45.76kg) dan pil erimin 5 (35.05kg).

“Polis turut merampas dadah tradisional iaitu ganja seberat 542.29kg dan heroin seberat 435.71kg,” katanya kepada Bernama.

Kamarulzaman berkata, turut disita harta yang dianggar bernilai RM43.36 juta dan nilai harta yang dilucutkan RM1.32 juta bagi keseluruhan sindiket yang dikesan itu.

“JSJN sentiasa berusaha membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini dengan menjalin kerjasama dengan agensi penguat kuasa dadah antarabangsa.

“Pelbagai tindakan proaktif yang telah diambil bagi mengesan sindiket yang aktif menjalankan aktiviti dadah melalui siasatan dan risikan secara profesional,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 10:30am
d